Monday, February 18, 2013

Menarik untuk dibaca..direnungkan..difikirkan dan bertanyalah diri..mana pilihan kita

Dunia pendidikan di peringkat IPT di Malaysia sudah terperangkap dengan permainan “politik perniagaan” yang didominasi oleh Barat.
Sebagai sebuah negara yang pernah kena jajah beberapa kali (oleh Belanda, Portugis, Inggeris, Jepun, dan Inggeris semula), psikologi orang Melayu khususnya sentiasa merasakan apa yang datang dari Barat adalah BAIK dan BETUL dari apa yang ada di negara sendiri walaupun negara sudah merdeka dari penjajah hampir 60 tahun.
Para ilmuan Malaysia juga masih belum dapat lari dari sindrom “colonized mind and attitude”.  Menteri Pengajian Tinggi yang cuba membawa gelombang KPI bertanggungjawab membawa balik rakyat Malaysia khususnya para pensyarah di universiti MENYEMBAH DUNIA BARAT dengan mengikut apa sahaja yang dikemukakan oleh BARAT.
Beberapa pihak di Barat memulakan dengan permainan SENARAI 100 Universiti terbaik dunia, SENARAI 100 universiti Asia terbaik dengan mengemukakan beberapa kriteria.
Kemudian kriteria ini berubah-ubah dari masa ke semasa dan kemudian kriteria baru diwujudkan dengan permainan SCOPUS dan ISI di mana setiap penerbitan jurnal di dalam SCOPUS dan ISI dibayar dengan harga tinggi. Yang menerbit juga diberikan ganjaran wang antara RM1000 hingga RM10,000 bagi setiap artikel. Maka penerbit jurnal kaya mengutip yuran dari penulis untuk menerbit artikel; penulis juga kaya mengaut wang dari majikan universiti kerana bejaya menerbit artikel dalam senarai jurnal SCOPUS dan ISI.
Apa yang lebih parah ialah apabila artikel ditulis oleh sebilangan pensyarah sehingga ada artikel yang ditulis oleh 2 pensyarah, 5 pensyarah, 10 pensyarah, hatta ada juga satu artikel yang ditulis oleh 30 orang! Inilah Malaysia BOLEH! Profesor Ulung Negara, iaitu Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, menggelar fenomena kegilaan menulis beramai-ramai dalam satu artikel ini sebagai “SARJANA GOTONG ROYONG.” Inilah agaknya yang mahu diwujudkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang membawa imej korporat dalam mengurus universiti.
Bukan “sarjana gotong royong sahaja” yang menjadi keghairahan para pensyarah dewasa ini, malah ramai pensyarah menenggek dalam artikel pensyarah lain untuk diterbitkan dalam senarai penerbitan SCOPUS dan ISI. Fenomena ini boleh digelar sebagai  ”PENERBITAN TIMBANG KATI”  di mana pensyarah menerbit apa sahaja dalam jurnal asalkan diterbitkan dalam  jurnal SCOPUS dan ISI dan  walaupun artikel dan jurnal itu tidak melambangkan bidang disiplin atau kepakaran pensyarah bekenaan.
Yang lebih jenaka pula ialah apabila pensyarah yang menjadi penyunting dan pewasit jurnal SCOPUS dan ISI menawarkan diri kononnya mahu membantu pensyarah muda menulis dan menerbit artikel dalam jurnal SCOPUS dan ISI dengan syarat nama pensyarah itu dimasukkan dalam artikel berkenaan tanpa mengira bidang.
Maka pensyarah senior berkenaan memiliki puluhan malah ratusan  artikel dalam SCOPUS dan ISI walaupun nama pensyarah berkenaan berada dalam artikel yang bukan bidang disiplinnya . Dengan terbitnya artikel mereka dalam jurnal SCOPUS dan ISI, maka mereka menuntut ganjaran wang dari universiti atas alasan berjaya menaikkan KPI universiti dan menaikkan ranking universiti di mata dunia. Ada artikel bernilai RM1000, RM2000, dan paling tinggi RM10,000 untuk dituntut oleh pensyarah berkenaan.
Benarlah kata pepatah Melayu, menang sorak kampung tergadai. Jurnal tempatan tidak mendapat perhatian lagi dari pensyarah tempatan kerana permaian “politik perniagaan” Barat dan kerana kekalutan Menteri Pengajian Tinggi yang mengikut tarian Barat. Jurnal bahasa Melayu MALAP. Jurnal tempatan MATI.
Lebih teruk lagi apabila buku-buku dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris tidak lagi diberi perhatian, dan akibatnya, bilangan buku tulisan akademik amat berkurangan kerana BUKU tidak dinilai dalam KENAIKAN PANGKAT di universiti. Menteri Pengajian Tinggi dan Naib-Naib Canselor tidak mahu melihat buku sebagai sumber ilmu yang diedar dan dibaca oleh anggota masyarakat umum berbanding dengan jurnal yang hanya berada di rak buku dan dalam Internet untuk kegunaan ilmiah semata-mata.
Pentadbir universiti bagaikan lembu dicucuk hidung oleh hegomoni barat dalam permainan “politik perniagaan” oleh Barat dalam hal ini.
Di mana perginya jatidiri ilmuan Malaysia jika buku yang menjadi sumber  ilmu tidak diiktiraf sebagai sumbangan ilmu dalam negara ini ketika menilai ilmuan dalam proses kenaikan pangkat?
Di mana pergi jatidiri jurnal dari Malaysia apabila pensyarah tidak mahu menulis dalam jurnal tempatan kerana segelintir  kecil sahaja jurnal tempatan  yang diterima sebagai jurnal SCOPUS dan ISI oleh Barat? Betul, IPTA sudah hilang arah haluan!
Di manakah keikhlasan pensyarah menulis artikel  kerana ilmu dan bukan kerana mengejar status dan bukan kerana mengejar ganjaran yang lumayan sehingga menggadaikan jurnal tempatan serta buku tempatan dalam bahasa Melayu? Benarlah IPTA sudah hilang arah haluan!
Apakah bahasa Melayu ini hina sangat di sisi dunia sehingga tidak boleh menjadi bahasa ilmu? Memang IPTA sudah hilang arah haluan!
Inilah bukti kesan MENTAL DAN SIKAP ORANG YANG PERNAH DIJAJAH. Mereka melihat apa yang dibuat dan dicadangkan oleh Barat itu semua bagus dan betul  sehingga mereka sanggup menyempitkan pembinaan khazanah ilmu dalam acuan kita sendiri.
Siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini kalau tidak Menteri Pengajian Tinggi dan Naib-Naib Canselor IPTA yang kini bukan berkhidmat untuk kesarjanaan tetapi untuk menjaga periuk nasi masing-masing! Inilah yang dikatakan IPTA sudah hilang arah haluan! Akhirnya PENJAJAH tetap ULUNG, ilmuan MALAYSIA kena GULUNG!
Baca pula petikan tulisan seorang Profesor Jusa B, bekas Dekan dari sebuah IPTA
————————–mula ————-
SAYA mulakan surat ini dengan rasa rendah diri yang amat sangat. Saya merupakan seorang profesor Jusa B yang kini masih berkhidmat dengan salah sebuah universiti perdana tanah air. Dalam usia yang kian menuju ambang persaraan dan dengan sedikit pengalaman yang Tuhan berikan ketika menetap sepuluh tahun di luar negara, izinkan saya meluahkan perasaan yang sudah tidak dapat ditahan-tahankan lagi.
Dalam tempoh hampir 30 tahun bergelar pensyarah, saya turut pernah menjawat jawatan sebagai Dekan juga pengarah dalam beberapa jabatan lain di universiti. Oleh itu, dengan pengalaman itu saya rasa saya berhak untuk menyuarakan isi hati setelah suara saya dan rakan-rakan profesor tidak pernah didengari oleh pihak pendaftar universiti mahupun Kementerian Pengajian Tinggi.
Bulan April adalah bulan yang paling ditakuti oleh para pensyarah universiti IPTA kerana penilaian prestasi (KPI) mereka akan dinilai. Sejak kebelakangan ini, apabila KPT terlalu mementingkan “rangking dunia,” maka ramai (sebahagian besar pensyarah) ini akan mendapat markah di bawah prestasi 80 markah kerana gagal menerbitkan jurnal bertaraf antarabangsa (ISI).
Masalah ini kian parah apabila jurnal ISI ini turut menjadi syarat wajib untuk permohonan kenaikan pangkat. Persoalannya di sini ialah, siapakah yang menentukan pengiktirafan ISI ini? Seperti yang dimaklumi bahawa pengiktirafan ISI ini adalah di bawah bidang kuasa penerbitan yang bernaung di Barat. Hal ini bermakna juga bahawa KPI pensyarah-pensyarah ini berada di bawah ketentuan kuasa Barat. Bukankah aneh, seorang kakitangan kerajaan Malaysia, prestasinya dinilai atau ditentukan oleh negara Barat? Dan, hal ini tidak berlaku kepada kakitangan awam Malaysia yang lain.
Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang kakitangan awam Malaysia, KPInya ditentukan oleh kuasa Barat? Lebih malang lagi nasib ini menimpa kepada pensyarah yang berada dalam bidang sains sosial yang kajian dan penyelidikan mereka benar-benar terbatas kepada mempertahankan maruah dan nasib bangsa, agama, bahasa, sejarah, sastera dan kebudayaan Melayu yang kita sedia maklum tidak pernah dihargai atau mendapat pengiktirafan kuasa penjajah.
Jika hal ini berterusan, maka tidak hairanlah pada hari ini jawatan pensyarah bukan menjadi pilihan golongan muda. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak KPT ialah member pengiktirafan kepada jurnal-jurnal yang diterbitkan oleh university mahupun institusi tempatan yang lain. Perkara yang paling penting ialah budaya penulisan jurnal dapat berkembang hebat dan budaya penulisan penyelidikan dapat terus subur dalam negara. Menerbitkan jurnal bukanlah semudah yang disangkakan. Sekirannya hal ini masih dipandang sebelah mata, maka adalah malu seorang pensyarah yang kelulusan sarjana atau doktor falsafah (PhD) dan bekerja di universiti tempatan, markah KPInya berada pada bawah paras “malas” atau “sakit” sedangkan mereka mempunyai dedikasi yang tinggi dalam pengajaran dan melakukan tugas-tugas rasmi universiti seperti membentang kertas kerja, menghadiri seminar, menjadi perunding kepada beberapa organisasi kerajaan dan sebagainya.
Perkara kedua ialah tentang gaji pensyarah. Aneh dan pelik kerana sepanjang 30 tahun saya bertugas sebagai pensyarah, gaji pensyarah tidak pernah melalui penstrukturan semula berbanding gaji guru yang saya lihat begitu drastik perubahannya. Bayangkan seorang guru pakar (guru cemerlang) yang hanya berkelulusan ijazah pertama layak menerima gaji bergred DG52 (setaraf dengan gred gaji pensyarah berkelulusan PhD) atau DG48 sedangkan seorang pensyarah yang berkelulusan sarjana dan bergred DS45, mengajar pula calon-calon sarjana tetapi menerima gaji yang lebih rendah daripada itu.
Lebih malang lagi ialah, sebahagian besar pensyarah bergred DS45 ini merupakan bekas-bekas guru yang berpengalaman mengajar lebih daripada 15 tahun. Jika dibandingakan dengan rakanrakan guru mereka yang berada di sekolah atau di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau Kolej Matrikulasi, maka golongan pensyarah ini seperti sengaja dizalimi. Lebih memalukan lagi jika dibandingkan dengan guru-guru sekolah yang mengajar Tingkatan 6 (prauniversiti), dengan pengalaman kurang 10 tahun tetapi turut menerima gaji gred DG48/DG44.
Inilah satu kezaliman dalam kes pembayaran upah dan guna tenaga kerja kepada pensyarah. Oleh itu, saya mencadangkan supaya gred gaji pensyarah tanpa PhD perlu dinaiktarafkan kepada DS52 (atau setara dengan tingkat gaji DG48) dan pensyarah berkelulusan PhD dinaiktaraf ke Gred DS54 dan begitulah seterusnya. Situasi ini akan dapat menunjukkan status dan kedudukan pensyarah di mata dunia setanding usaha memartabatkan golongan profesional.
Secara peribadi, saya melihat skim perkhidmatan pensyarah IPTA pada zaman ini adalah amat menyedihkan berbanding guru sekolah. Golongan ini terpaksa berhadapan dengan satu persaingan dunia yang jumud dan amat menekan. Pensyarah hari ini lebih teruk daripada seorang guru yang terpaksa berhadapan dengan cabaran atau kemungkinan pertembungan budaya ilmu. Tentunya pertembungan ini menuntut iltizam dan komitmen yang tinggi sebagai satu usaha persaingan yang sihat.
Malangnya, semua usaha yang dilakukan oleh pensyarah bagi melonjakkan impian Malaysia untuk menjadi pusat pengajian ilmu terbaik Asia tidak pernah dihargai. Inilah kelemahan Menteri Pengajian Tinggi, iaitu YAB Dato’ Khalid Nordin yang tidak pernah memikirkan nasib dan kebajikan pensyarah IPTA berbanding YAB Tan Sri Mahyudin Yassin yang begitu bersungguhsungguh membela nasib guru.
Sepanjang saya berkhidmat sebagai seorang pensyarah pelawat di Amerika, hal-hal sebegini tidak berlaku. Penilaian prestasi (KPI) seseorang pensyarah dinilai kepada sebanyak mana mereka menyumbangkan ilmu dan kepakaran mereka kepada masyarakat. Sumbangan mereka menulis untuk penerbitan berkala, akhbar, majalah mahupun buku cerita kanak-kanak amat dihargai kerana para pensyarah itu dikatakan milik masyarakat.
Penerbitan jurnal berwazit dan bertaraf ISI hanya satu hambatan penerbitan untuk tujuan mendapatkan bonus tahunan. Hal ini bermakna, pensyarah yang berada di Barat itu amat rapat hidupnya dengan masyarakat dan mereka amat dihormati jiran tetangga atau masyarakat setempat. Situasi ini tidak berlaku di negara kita. Oleh sebab ingin mengejar penerbitan ISI, mereka seperti menjadi makhluk asing di taman perumahan atau menjadi kera sumbang yang mementingkan diri sendiri. Demi kerana mengejar “rangking” dunia universiti, adakah ini yang diinginkan oleh KPT? Kita perlu sedar bahawa untuk menandingi atau menyaingi Univesiti Havard, Oxford, Yale, Cambrige atau mana-mana universiti terbaik dunia bukan satu usaha mudah. Kita sepatutnya berfikir seperti mana cara orang Jepun berfikir, iaitu jangan tergila-gila merebut status universiti terbaik dunia tetapi berfikir bagaimana untuk menjadi fakulti yang ada di dalam sesebuah universiti itu boleh menjadi fakulti terbaik dunia dengan menggunakan sepenuh tenaga dan kepakaran yang ada.
Universiti of Tokyo misalnya mempunyai Fakulti Kejuruteraan Automobil ketiga terbaik di dunia tetapi universiti ini berada dalam kelompok ke-100 dalam “rangking” dunia. Hal ini sepatutnya boleh berlaku kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya bagi menjadi Pusat Tamadun Melayu Dunia seperti Universiti of Leiden, Belanda atau juga Akademi Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mengambil alih fungsi Universiti Al-Azhar, Mesir. KPT tidak berfikiran sedemikian sebaliknya yang difikirkan ialah “kegilaan” mengejar “rangking” dunia tanpa pernah mengukur pakaian pada badan sendiri.
Kepada KPT, khususnya YAB Dato’ Khalid Nordin, fikirkanlah kebajikan dan nasib para pensyarah yang akan membawa impian dan nama university tempatan ke mata dunia sebelum mereka berhijrah ke university swasta (IPTS) yang menjanjikan pulangan yang lebih baik. Tugas pensyarah sebenarnya lebih berat berbanding guru sekolah. Mereka perlu membuat penyelidikan, menyelia tesis sarjana mahupun PhD, mengajar dan mereka juga menjadi milik masyarakat.
Adilkah mereka dibayar dengan gaji yang setara upahnya dengan guru jika beban tugas yang terpaksa dipikul itu lebih berat? Beberapa bulan lalu, dalam ruangan “Surat Pembaca” Berita Harian, jawapan oleh Unit Komunikasi Koprat terhadap keluhan seorang Profesor Pencen amat melucukan. Jawapan itu menunjukkan bahawa pegawai di KPT hanya memikirkan perut sendiri. Cuba kita bayangkan, wajarkah seorang pensyarah Gred DS45 (tanpa PhD) boleh menjawat jawatan professor atau pengarah di universiti?
Apakah ertinya pengalaman 15 tahun bergelar guru, 5 tahun bergelar pensyarah dengan kepakaran yang dimiliki jika tidak dihargai oleh universiti? Jawapan-jawapan mereka yang merujuk juga kepada university mempunyai kuasa autonomi hanya satu jawapan bodoh dan menolak prinsip kemanusiaan. Ingin saya bertanya juga kepada KPT, sejauh mana kuasa autonomi KPM yang diberikan kepada IPTA?
Akhirnya, sebagai seorang profesor Gred Jusa B, saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan terhadap gaji dan jawatan kerana saya sudah menikmati kesemuanya itu. Apa yang saya harapkan ialah belalah nasib golongan pensyarah ini kerana di tangan merekalah akan lahirnya generasi hebat negara dan generasi bermodal insan yang bakal menyambung gagasan kepimpinan negara.
Seperti yang selalu saya suarakan di dalam mesyuarat dengan anggota senat-senat universiti bahawa sudah sampai masanya pihak KPT berfikir seperti mana cara orang Jepun berfikir, iaitu memastikan bangsa mereka berada di baris hadapan tanpa membunuh jati diri bangsa. Budaya mengarifi falsafah Melayu “kera di hutan disusukan; anak mati dalam pelukan” perlu difahami sebaik-baiknya.
Wajarkah rakyat Malaysia membayar gaji yang lumayan kepada pensyarah warga Negara asing yang berkelulusan sarjana dan tidak menyumbangkan apaapa dalam dunia penerbitan? Fikirkan kebajikan dan nasib pensyarah-pensyarah warga tempatan ini, khususnya pensyarah-pensyarah muda yang bakal memikul tanggungjawab dan amanah untuk 10 atau 20 tahun lagi. Jika Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melakukan banyak penambahbaikan dalam mengangkat martabat guru, sepatutnya hal yang sama juga berlaku kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Sebagai penutup surat ini, sekali lagi saya merayu agar KPT dapat memikirkan kewajaran pandangan dan cadangan saya ini supaya kita sama-sama dapat mengangkat martabat dan memikirkan kebajikan golongan pensyarah yang tidak pernah disentuh oleh mana-mana pihak sejak 10 tahun kebelakangan ini.
PROFESOR JUSA B,
Kuala Lumpur
~dipetik dari surat pembaca sebuah akhbar

12 comments:

kuchalana said...

apa pilihan yg kita ada?

Anonymous said...

Hanya ingin berkongsi. Saya meninggalkan profession perguruan (setelah berkhidmat selama 7 tahun) lebih kurang 6 tahun yang lalu untuk memasuki universiti sebagai pensyarah. Setelah mendapat PhD dan telah pulang 2 tahun lalu untuk mengajar (postgrad dan undergrad) serta penyeliaan (tidak termasuk menjadi coordinators untuk beberapa program fakulti), saya masih di jawatan DS45 kerana tidak cukup ISI. Lagi menyedihkan apabila rakan2 di sekolah dahulu sudah ada yang mendapat DG44 dan DG48 dimana gaji mereka lebih besar dari saya sekarang. Rasa diabaikan oleh the now-defunct KPT is such an understatement.

Anonymous said...

Saya juga amat bersetuju dengan apa yang dinyatakan dalam blog ini. Walaupun bukan gaji yang dikejar dalam dunia ilmiah dan kepuasan hati bekerja jadi keutamaan, namun perbezaan ketara gaji guru dan pensyarah tidak dinafikan menjadikan ramai pensyarah terkilan dan kecil hati. Bukannya tidak bersyukur berbanding ramai yang menganggur tetapi, apalah guna belajar tinggi2 sehingga ke PhD, postdoc dan menerbit, cari geran penyelidikan dalam dan luar negara jika kenaikan pangkat begitu ketat dan susah..akhir2nya gaji lebih rendah dari jawatan guru. Bukan mempersoalkan tetapi hak dan adakah ia wajar? Nak bising2 orang cakap tak pandai bersyukur tetapi negara nak cendikiawan first class menggunung mencapai langit...target pHD 60%! tetapi hak pensyarah terabai dan sengaja diabaikan. Persoalannya, belajar tinggi2 untuk apa dan siapa sebenarnya?

Anonymous said...

Amat bersetuju dengan kandungan blog ini. Akibat polisi Scopus / ISI (CIF) ini maka akan terhasil lah juga many "opportunis" yang amat mengejar pangkat (PM., Prof.). Bayangkan, seorang pensyarah balik dengan PhD baru setahun telah dinaikkan pangkat ke PM hanya dengan ukuran ISI indexed journal nya... Apabila menyelia pelajar pasca siswazah, pelajar akan diterapkan dengan idea untuk menerbitkan kertas kerja di ISI with high CIF. Mereka ini akan berbangga sekiranya pelajar boleh menamatkan PhD dalam masa 3 tahun atau kurang. Kematangan pelajar tidak diambil kira.. Amat sedih sekali dengan senario ini. Amat-amat tidak sihat untuk kesarjanaan ilmu di IPT.

pensyarah muda said...

amt setuju dengan artikel...apa yg saya nampak sekarang ...ilmu yg diturunkan x penting yg penting adalah mengejar bilangan conference/jounal ynag di tulis..sbb dngn in i sng naik pangkat ..yg betul bteul membantu anak bnagsa memahami bidang masing masing ..ermmm duk la situ sampai bila bila...

Anonymous said...

Saya tidak setuju dengan artikel ini, anda mempunyai fikiran yang sangat negatif. Berkenaan dengan ranking universiti itu, bukankah kita semua tahun merak yang terbaik itu sememangnya terbaik. Apakah salahnya kalau kita berusaha menjadi lebih baik dari sekarang dan bercita-cita menjadi seperti mereka? Kalau tak dapat sebaik mereka pun, kita berganjak 20% dari sekarang pun sudah dikira baik.

Berkenaan dengan publication, bukankah dalam agama kita mengatakan menyebarkan ilmu itu akan mendapat pahala yang berterusan? dalam dunia moden sekarang journal publication merupakan salah satu cara penyebaran ilmu yang berkesan. manuskrip yang dihantar ke journal yang kredibel ini akan direview oleh orang2 yang bagus dan author akan mendapat komen untuk memperbaikinya. sekiranya ilmu yang ingin disebarkan itu adalah baik. ia akan diterbitkan untuk menjadi rujukan seluruh dunia. Dapat pahala ke tak?

Berkenaan dengan berkongsi nama, bukankah dalam penulisan satu artikel akan melibatkan ramai pihak, antaranya pelajar..biasanya utama kerana dia melakukan penyelidikan, untuk menambah baik kualiti manuskrip, supervisor memainkan peranan kerana pelajar sukar untuk menembusi kualiti journal yang baik. kalau berkongsi nama secara beretika itu adalah perkara biasa. cuma ada yang menyalahgunakannya. tetapi tidak ramai.

So kalau saudara lulus PhD apa agaknya yang saudara nak lakukan lepas tu? kerja di universiti dan pegi balik kelas tanpa buat research dan menulis? itu kerja cikgu..tak payah bayar gaji pensyarah ..kalau itu dalam fikiran saudara, bermaksud menyalahgunakan kedudukan

Anonymous said...

saya bersetuju dgn artikel ni.

pensyarah tak menikmati penyelarasan gaji seperti guru pun..tetapi pensyarah bukan saja mengajar malah perlu membentang paper,menyelia pelajar dan sebagainya berbanding tugas guru..

Anonymous said...

Saya beranggapan ini semua hasil mahsul kerja orang-orang UMNO macam Khalid Nordin yang mencalonkan kaum keluarga memimpin sebuah IPTA di selatan tanah air. Sekarang orang-orang UMNO juga yang sedang mencari calon pengganti. Habis apa nak jadi?

Anonymous said...

bersetuju dengan artikel ni..diharap penulis dapat memanjangkan ke pihak KPT dan mungkin terus kepada perdana menteri.mungkin tidak akan dibaca tapi sekurang2nya ada usaha.guru2 lebih bernasib baik kerana mereka mempunyai satu kelompok komuniti yang kuat untuk memperjuangkan hak2 mereka..golongan pensyarah mungkin lebih selesa dengan melakukan kerja mereka tanpa memperjuangkan hak2 yg sepatutnya mereka perolehi.walau bukan gaji yg dikejar tetapi tak dinafikan rmai yang berkecil hati tapi cuma mendiam diri.

Anonymous said...

Kalau eja "ranking" (sebuah perkataan Bahasa Inggeris, dan tidak sesuai penggunaanya dalam artikel ini) pun tak betul, jangan bisinglah pasal gaji.

Kira bersyukur la ada nasi di atas pinggan, ada rumah untuk diduduki dan ada kereta untuk dipandu.

delyah noordin said...

anonymous



Kira bersyukur la ada nasi di atas pinggan, ada rumah untuk diduduki dan ada kereta untuk dipandu.

such low expectation, no wonder, such low mentality
(ejaan betul kot)

Anonymous said...

Ini lah yg 'frust'dlm dynia akademik,bula ade org membawa isu bernas sptbyg sbawa oleh penulis artikel ini,ada yg nmpak "typo error" yg tak relevan dan tk membawa 'kudis'pun..nampak sngt dangkal pemikirannya & dharap vkn dkalangan ahli akademik "kangkong""cut n paste" yg menjalar n mnyumbang kpd kemerosotan kualiti dlm pengajian tinggi d negara ini!