Universiti Terbuka PTS mengulas tentang isu penulisan akademik disini.Ia kelihatan kecil. Di universiti ia isu besar. Penulisan akademik selalunya mempunyai lebih daripada satu nama. Mungkin dua, tiga, empat atau lebih lagi. Soalnya, nama siapa di depan? Ia menjadi isu penting kerana pembahagian markah penilaian prestasi atau kenaikan pangkat markahnya berbeza. Nama di hadapan dianggap pengarang utama atau boleh dilihat sebagai ketua penulis.Ada orang tanpa segan silu mahu namanya di hadapan. Tidak buat apa-apa tetapi kerana berjawatan tinggi, mempunyai pengaruh akademik minta supaya namanya ditempel sekali. Ia bagai kaduk naik junjung, berakhir seolah-olah beliau adalah ketua kepada penulisan tersebut. Atau, sumbangannya hanya 10-15 peratus tetapi beliau pandai bercakap, kuat pula tu.. dan mukanya selamba, tiba-tiba sahaja urutan nama bermula dengan nama beliau.
Saya sendiri berpengalaman dikeluarkan nama daripada satu projek [pss… secara senyap-senyap] walaupun model tersebut adalah idea asal saya. Akhirnya ia berjaya memenangi gold medal dalam satu pertandingan inovasi. Profesor dengan profesor pun boleh berlaku, apatah lagi profesor dengan pelajar atau dengan rakan sejawat. Tekanan seumpama ini juga boleh berlaku kepada pensyarah muda daripada Pengarah Kampus atau Dekan Fakulti. Saya diasuh oleh Prof Stuart McLeay, profesor perakaunan daripada Universiti Wales. 10 tahun yang lampau, saya menulis kertas kerja penyelidikan berdasarkan pengajian PhD. Alahai dulu-dulu, saya mempunyai PR yang bagus. Lalu nama pengarangnya di tulis begini:Stuart McLeay, David Neal and Muhd Kamil Ibrahim. Stuart memarahi saya: “Ini kerja awak. Nama awak di hadapan!”. Beliau yang membetulkan title page dan bersungguh-sungguh melihat keseluruhan tulisan tersebut. Sampai ke saat ini saya masih mengingati apa yang diajar oleh Stuart kepada saya. Nilai etika yang bersifat holistik. Saya mempunyai satu tim penyelidikan yang intim. Kedua-duanya - Khairul dan Wan - adalah bekas pelajar di peringkat sarjana. Hampir setiap masa kami mempunyai tiga penyelidikan serentak. Pertama akan diketuai oleh saya, projek kedua oleh Khairul dan yang ketiga oleh Wan. Jika saya sebagai ketua, maka 80 peratus kerja-kerja akan dilakukan oleh saya dan sebagai ahli projek mereka menyumbang sebanyak 10 peratus setiap seorang. Walaupun saya pensyarah kanan atau profesor, nama di hadapan bergantung kepada sumbangan yang telah dipersetujui bersama. Pernah pada satu ketika, nama Khairul berada di urutan pertama pada sebuah buku yang diusahakan oleh kami bertiga sedangkan sayalah ketua projeknya. Kenapa? Editor syarikat penerbitan menggunakan urutan mengikut abjad bagi menyusun nama pengarang. Khairul ketawa dan berkata: “Doc, ini adalah rezeki saya.. he..hee”.
Saya tersenyum!
Buku terbaru kami telah diusahakan oleh Khairul dan Wan sehinggalah beliau melanjutkan pelajaran ke New Zealand. Manuskrip tersebut diserahkan kepada saya. Ia terpaksa ditukar semula, ditambah bab-bab baru dan susun-atur perlu dirombak. Pada saat terakhir, saya terfikir: nama siapa di hadapan? He… he… dulu rezeki Khairul… tidak salah untuk meletakkan nama saya pula di hadapan. Opsss… akhirnya ia jadi begini: Khairul Anuar Kamaruddin, Muhd Kamil Ibrahim, Wan Adibah Wan Ismail dan Mustaffa Md Zain. Saya masih lagi tersenyum.
No comments:
Post a Comment