Wednesday, April 27, 2011

Madinah...

Tulisan Prof Kamil yg sentiasa memberi semangat dan panduan untuk diikuti...mohon di copy prof.

Arwah Abah dan Mak merupakan pasangan intim.

Mereka sentiasa berdua. Di antara keduanya, abahlah yang lebih bergantung kepada mak. Rasanya, jika mak tiada, goreng telur pun abah tersangat kekok. Sebaliknya, tanpa abah, mak lebih suka berdiam diri di rumah.

Mak telah melalui dua peristiwa besar. Pertama kehilangan suami dan kedua kehilangan anak perempuan bongsu. Ia berselang bulan. Mak redha. Namun pastinya perasaan sayu dan sebak sentiasa ada apabila berseorangan. Ia sifat semula jadi.

“Mak, kami ingin berhijrah. Abang Kamil dapat offer ke Madinah,” Roza memecah rahsia tersimpan sepanjang Mak menjaga Abah dan Ayu walaupun seisi dunia yang lain sudah mengetahui. Ia rahsia hanya untuk mak.

“Kami ingin bawa mak sekali. Bukankah ini impian mak? Agaknya, inilah yang Allah kata, di sebalik kesusahan ada kesenangan,” kata-kata yang mungkin tersusun beberapa minggu yang lepas.

Emak diam. Akhirnya air mata mak tidak tertahan lagi. Kuat sedunya. Kami tahu yang beliau dapat membayangi suasana Masjid Nabi dan kawasan sekitarnya yang aman dan damai. Malah ia bukan satu rahsia betapa Madinahlah yang mahu beliau tuju sebagai destinasi akhir.

Hakikatnya, beliau tahu yang impian tersebut hanyalah satu hasrat yang terlalu sukar untuk dilaksanakan. Tiba-tiba jalannya terbuka luas.

“Cuma Mak, kami perlukan kelulusan UiTM. Doakan supaya ia dipermudahkan”.

Pada hari yang lain, saya nyatakan pada mak, “Mak boleh tinggal di sana bersama kami secara berterusan, boleh tinggal sebulan-dua dan balik ke Malaysia sebulan, kemudian datang balik dan begitulah… Saya cuba cari kediaman yang paling hampir dengan masjid Nabi supaya mak boleh berjalan kaki ke sana”

Kisah Madinah ini benar-benar menceriakan Mak. Hampir setiap hari kami membicarakan topik ini. Ia ubat kesegaran yang paling berkesan.

10 tahun dari sekarang aku juga ingin seperti ini...mohon Allah panjangkan umur ibuku untuk turun bersama di sana....Amin

No comments: